APLIKASI YANG DIGUNAKAN DALAM PEMBELAJARAN
WIKI
Apa itu Wiki ???
Wiki membolehkan komunikasi tak segerak dan kerjasama berkumpulan di seluruh
dunia Internet. Wiki sering disifatkan sebagai satu sistem pengarangan, medium
perbincangan, repositori (tempat penyimpanan), sistem mel, dan alat untuk
bekerjasama. Ia memberi pengguna keistimewaan sebagai penulis dan penyunting;
keseluruhan susunan sumbangan boleh disunting, begitu juga dengan isi kandungannya.
Wiki boleh menggabungkan bunyi, video dan gambar; ia merupakan cara mudah untuk
membina persembahan multimedia dan cerita digital yang ringkas.
Kelebihan Penggunaan Wiki
Menurut David Jakes (2006), wiki amat fleksibel dan boleh digunakan dalam kelas,
untuk pemantapan kerjaya serta untuk kegunaan pentadbiran seperti berikut:
1. Kelas: Pelajar boleh menggunakan wiki sebagai platform untuk penyelesaian
masalah secara kolaboratif, laporan makmal berkumpulan, projek penulisan
dalam kelas, dan penulisan “buku teks” kelas. Kesimpulannya, wiki boleh
digunakan untuk menyokong apa jua bentuk projek kolaboratif pelajar.
2. Pemantapan Kerjaya: Wiki sesuai digunakan untuk merancang bengkel atau
persidangan. Penceramah boleh menyiarkan dokumen dan sumber-sumber lain
di wiki sebelum bengkel bermula dan meminta peserta menyiarkan nota-nota
mereka sewaktu bengkel tersebut. Kemudian, peserta boleh kembali melawat
wiki untuk menulis refleksi mereka mengenai perkara yang telah dipelajari.
3. Kegunaan Pentadbiran: Pentadbir boleh memanipulasikan penggunaan wiki
untuk membolehkan guru, pelajar, kakitangan teknologi, dan kakitangan lain
membantu dalam pembinaan dan penyuntingan dokumen-dokumen dasar.
Proses Penggunaan Wiki Dalam Pembelajaran
Wiki adalah salah satu daripada komponen Web 2.0 yang boleh digunakan untuk
memantapkan proses pembelajaran. Wiki juga ialah alat komunikasi dan kerjasama
dalam laman web yang boleh digunakan bagi menggalakkan pelajar untuk belajar
dengan orang lain dalam satu persekitaran kolaboratif (Kevin & Joseph, 2007).
Kerjasama menggunakan wiki tidak terhad kepada pelajar sahaja. Kakitangan fakulti
boleh menggunakan wiki untuk bekerjasama dalam suatu projek, sama ada
menyunting buku teks, menyediakan artikel jurnal atau menyusun sukatan pengajaran
mahupun senarai bacaan. Wiki juga boleh menjadi satu alat yang sesuai untuk
mendapatkan input berterusan bagi suatu kajian atau projek, kerana input komuniti
boleh membantu untuk memaklumkan dan memberikan arah kepada penyelidikan
seterusnya. Tiada had kepada keupayaan penggunaan wiki sebagai satu platform untuk
projek kolaboratif, segalanya berkemungkinan, hanya bergantung kepada kreativiti dan
masa seseorang. Projek-projek yang menggunakan wiki boleh menyediakan pelbagai
tahap akses dan kawalan laman web kepada ahli kumpulan, menawarkan elemen
pelarasan halus yang boleh memperkemas pengalaman pengajaran dan pembelajaran
(Educause 2009).
Duffy dan Bruns (2006) menyenaraikan beberapa kemungkinan penggunaan wiki
dalam pendidikan:
1. Pelajar boleh menggunakan wiki sebagai alat pendokumenan berterusan untuk
membina projek kajian mereka.
2. Pelajar boleh menambahkan ringkasan pendapat mereka berkenaan bahan-bahan
bacaan dan membina bibliografi beranotasi secara kolaboratif dengan
wiki.
3. Wiki boleh digunakan untuk menerbitkan sumber-sumber kursus seperti
sukatan pelajaran dan lampiran edaran, dan pelajar boleh menyunting serta
memberikan komen secara langsung untuk dibaca oleh semua.
4. Guru-guru boleh menggunakan wiki sebagai satu pangkalan pengetahuan yang
membolehkan mereka berkongsi refleksi dan pendapat mengenai amalan
pengajaran, dan membenarkan pengurusan versi dan pendokumenan.
5. Wiki boleh digunakan untuk pemetaan konsep. Ia berguna untuk pemikiran
idea, dan penyuntingan pada topik wiki tertentu boleh menghasilkan satu
rangkaian sumber.
6. Wiki boleh digunakan sebagai alat persembahan untuk menggantikan perisian
biasa, dan pelajar boleh memberikan komen secara langsung serta mengubah
kandungan persembahan.
7. Wiki merupakan alat untuk pengarangan secara berkumpulan. Ahli kumpulan
sering bekerjasama menyiapkan suatu dokumen dengan menghantar e-mel
yang disertakan fail untuk disunting oleh setiap ahli kumpulan. Usaha
kemudiannya dibuat untuk menyelaraskan suntingan tersebut agar hasil kerja
semua orang dapat disertakan dengan sama rata. Penggunaan wiki akan
merapatkan ahli kumpulan dan membolehkan mereka membina dan
menyunting dokumen dalam satu halaman wiki terpusat.
RUJUKAN
David Jakes. 2006. Wild about wikis. Retrived from
http://www.techlearning.com/article/6164 [25 Mac 2011]
Duffy, P. & Bruns, A. (2006). The use of blogs, wikis and RSS in education: A
conversation of possibilities. Proceedings of the Online Learning and Teaching
Conference 2006,
Brisbane: September 26.
http://eprints.qut.edu.au/5398/1/5398.pdf [25 Mac 2011]
Doyle, B. 2006. When to Wiki, When to Blog.
http://www.econtentmag.com/Articles/ArticlePrint.aspx?ArticleID=16900 [25
Mac 2011]
Educause. 2009. 7 things you should know about wikis.
http://net.educause.edu/ir/library/pdf/ELI7004.pdf [25 Mac 2011]
Kevin R.P. & Joseph T.C. 2007. Wiki as a Teaching Tool. Interdisciplinary Journal of
Knowledge and Learning Objects. 3(2007):57-71