Ahad, 1 Mac 2015



APLIKASI YANG DIGUNAKAN DALAM PEMBELAJARAN


WIKI





Apa itu Wiki ??? 

Wiki membolehkan komunikasi tak segerak dan kerjasama berkumpulan di seluruh dunia Internet. Wiki sering disifatkan sebagai satu sistem pengarangan, medium perbincangan, repositori (tempat penyimpanan), sistem mel, dan alat untuk bekerjasama. Ia memberi pengguna keistimewaan sebagai penulis dan penyunting; keseluruhan susunan sumbangan boleh disunting, begitu juga dengan isi kandungannya. Wiki boleh menggabungkan bunyi, video dan gambar; ia merupakan cara mudah untuk membina persembahan multimedia dan cerita digital yang ringkas. 


Kelebihan Penggunaan Wiki


Menurut David Jakes (2006), wiki amat fleksibel dan boleh digunakan dalam kelas, untuk pemantapan kerjaya serta untuk kegunaan pentadbiran seperti berikut:

 1. Kelas: Pelajar boleh menggunakan wiki sebagai platform untuk penyelesaian masalah secara kolaboratif, laporan makmal berkumpulan, projek penulisan dalam kelas, dan penulisan “buku teks” kelas. Kesimpulannya, wiki boleh digunakan untuk menyokong apa jua bentuk projek kolaboratif pelajar.

 2. Pemantapan Kerjaya: Wiki sesuai digunakan untuk merancang bengkel atau persidangan. Penceramah boleh menyiarkan dokumen dan sumber-sumber lain di wiki sebelum bengkel bermula dan meminta peserta menyiarkan nota-nota mereka sewaktu bengkel tersebut. Kemudian, peserta boleh kembali melawat wiki untuk menulis refleksi mereka mengenai perkara yang telah dipelajari. 

3. Kegunaan Pentadbiran: Pentadbir boleh memanipulasikan penggunaan wiki untuk membolehkan guru, pelajar, kakitangan teknologi, dan kakitangan lain membantu dalam pembinaan dan penyuntingan dokumen-dokumen dasar.


Proses Penggunaan Wiki Dalam Pembelajaran


Wiki adalah salah satu daripada komponen Web 2.0 yang boleh digunakan untuk memantapkan proses pembelajaran. Wiki juga ialah alat komunikasi dan kerjasama dalam laman web yang boleh digunakan bagi menggalakkan pelajar untuk belajar dengan orang lain dalam satu persekitaran kolaboratif (Kevin & Joseph, 2007). Kerjasama menggunakan wiki tidak terhad kepada pelajar sahaja. Kakitangan fakulti boleh menggunakan wiki untuk bekerjasama dalam suatu projek, sama ada menyunting buku teks, menyediakan artikel jurnal atau menyusun sukatan pengajaran mahupun senarai bacaan. Wiki juga boleh menjadi satu alat yang sesuai untuk mendapatkan input berterusan bagi suatu kajian atau projek, kerana input komuniti boleh membantu untuk memaklumkan dan memberikan arah kepada penyelidikan seterusnya. Tiada had kepada keupayaan penggunaan wiki sebagai satu platform untuk projek kolaboratif, segalanya berkemungkinan, hanya bergantung kepada kreativiti dan masa seseorang. Projek-projek yang menggunakan wiki boleh menyediakan pelbagai tahap akses dan kawalan laman web kepada ahli kumpulan, menawarkan elemen pelarasan halus yang boleh memperkemas pengalaman pengajaran dan pembelajaran (Educause 2009).


Duffy dan Bruns (2006) menyenaraikan beberapa kemungkinan penggunaan wiki dalam pendidikan: 

1. Pelajar boleh menggunakan wiki sebagai alat pendokumenan berterusan untuk membina projek kajian mereka. 

2. Pelajar boleh menambahkan ringkasan pendapat mereka berkenaan bahan-bahan bacaan dan membina bibliografi beranotasi secara kolaboratif dengan wiki.

 3. Wiki boleh digunakan untuk menerbitkan sumber-sumber kursus seperti sukatan pelajaran dan lampiran edaran, dan pelajar boleh menyunting serta memberikan komen secara langsung untuk dibaca oleh semua.

 4. Guru-guru boleh menggunakan wiki sebagai satu pangkalan pengetahuan yang membolehkan mereka berkongsi refleksi dan pendapat mengenai amalan pengajaran, dan membenarkan pengurusan versi dan pendokumenan.

5. Wiki boleh digunakan untuk pemetaan konsep. Ia berguna untuk pemikiran idea, dan penyuntingan pada topik wiki tertentu boleh menghasilkan satu rangkaian sumber. 

6. Wiki boleh digunakan sebagai alat persembahan untuk menggantikan perisian biasa, dan pelajar boleh memberikan komen secara langsung serta mengubah kandungan persembahan. 

7. Wiki merupakan alat untuk pengarangan secara berkumpulan. Ahli kumpulan sering bekerjasama menyiapkan suatu dokumen dengan menghantar e-mel yang disertakan fail untuk disunting oleh setiap ahli kumpulan. Usaha kemudiannya dibuat untuk menyelaraskan suntingan tersebut agar hasil kerja semua orang dapat disertakan dengan sama rata. Penggunaan wiki akan merapatkan ahli kumpulan dan membolehkan mereka membina dan menyunting dokumen dalam satu halaman wiki terpusat.






RUJUKAN

 David Jakes. 2006. Wild about wikis. Retrived from http://www.techlearning.com/article/6164 [25 Mac 2011] 

Duffy, P. & Bruns, A. (2006). The use of blogs, wikis and RSS in education: A conversation of possibilities. Proceedings of the Online Learning and Teaching Conference 2006,

 Brisbane: September 26. http://eprints.qut.edu.au/5398/1/5398.pdf [25 Mac 2011] 

Doyle, B. 2006. When to Wiki, When to Blog. http://www.econtentmag.com/Articles/ArticlePrint.aspx?ArticleID=16900 [25 Mac 2011] Educause. 2009. 7 things you should know about wikis. http://net.educause.edu/ir/library/pdf/ELI7004.pdf [25 Mac 2011]

 Kevin R.P. & Joseph T.C. 2007. Wiki as a Teaching Tool. Interdisciplinary Journal of Knowledge and Learning Objects. 3(2007):57-71


Tiada ulasan:

Catat Ulasan