Masalah Penggunaan ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Seiring dengan zaman globalisasi, Malaysia tidak ketinggalan menerapkan aplikasi penggunaan ICT dalam segenap aspek kehidupan. ICT merujuk kepada Information And Communication Technologies. ICT telah digunakan secara meluas dalam aspek ekonomi,sosial, pentadbiran dan pendidikan. Tidak dapat tidak, warga pendidik perlu mengaplikasikan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan perkembangan semasa. Sejurus dengan perubahan ini, kita haruslah berhadapan dengan masalah-masalah penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Namun kita perlu mengatasi masalah ini dengan baik.
Masalah utama yang wujud adalah kemahiran tenaga pengajar iaitu warga pendidik untuk menggunakan alatan ICT. Generasi yang lahir sebelum era 1970-an dikatakan kurang cekap mengendalikan peralatan-peralatan ICT. Hal ini sangat berbeza dengan generasi selepas era 1990-an yang cekap dan berpengetahuan luas dalam hal penggunaan ICT. Masih terdapat guru yang tidak tahu menggunakan komputer untuk memasukkan data atau masih terkial-kial untuk menaip surat rasmi menggunakan Microsoft Word! Kelemahan sebilangan guru ini menyebabkan usaha kerajaan untuk mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran terbantut.
Selain daripada itu, penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di Malaysia dikatakan meluaskan lagi jurang perbezaan pelajar bandar dan luar bandar. Pelajar di luar bandar kurang terdedah kepada gajet-gajet ICT dalam kehidupan seharian. Hal ini menyebabkan kesukaran pihak guru untuk menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Kebanyakan program pendidikan yang dibangunkan dalam bentuk ICT harus digunakan secara dua hala, iaitu memerlukan interaksi balas daripada pelajar. Namun, hal ini tidak dapat dilaksanakan jika pelajar tidak tahu dan takut menggunakan gajet ICT. Kerajaan telah mengambil langkah menambah makmal-makmal komputer di sekolah di seluruh Negara untuk melatih pelajar menggunakan komputer sejak usia muda, sekaligus merapatkan jurang pelajar bandar dan luar bandar. Usaha kerajaan memperbanyak komputer di makmal komputer sekolah juga melibatkan kos dan komitmen yang tinggi.
Isu penyalahgunaan makmal komputer dan internet percuma di sekolah juga diperkatakan. Guru-guru dan pelajar didapati menyalahgunakan kemudahan internet disekolah untuk melayari laman-laman web yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran seperti laman sosial MySpace, Friendster dan sebagainya. Penyalahgunaan seperti ini dibimbangi mampu meningkatkan jenayah intenet yang sukar dikawal.
Kesimpulannya, bidang pemdidikan juga sedang mengalami zaman penuh cabaran terutama dari segi pandangan umum terhadap kepentingannya. Walaupun demikian, aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan pengajaran yang diajarkan. Penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran berupaya meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam menguasai sesuatu itu dengan lebih baik. Oleh itu, aspek latihan dalam perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran interaktif, menggalakkan juga penggunaan internet dalam pengajaran serta penyediaan teknologi yang sesuai dengan keperluan semasa perlu diberikan perhatian.
Rujukan
http://www.scribd.com/doc/21277985/Isu-Dan-Cabaran-Penggunaan-ICT-Dalam-Pengajaran#scribd
PERKEMBANGAN, CABARAN DAN APLIKASI TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI MALAYSIA,
Johan @ Eddy Luaran Faculti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA, Malaysia
http://i-learn.uitm.edu.my/v2/wp-content/uploads/2013/02/Perkembangan-Cabaran-dan-Aplikasi-Teknologi-Maklumat-dalam-Pengajaran-dan-Pembelajaran-di-Malaysia.pdf
PERKEMBANGAN, CABARAN DAN APLIKASI TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI MALAYSIA,
Johan @ Eddy Luaran Faculti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA, Malaysia
http://i-learn.uitm.edu.my/v2/wp-content/uploads/2013/02/Perkembangan-Cabaran-dan-Aplikasi-Teknologi-Maklumat-dalam-Pengajaran-dan-Pembelajaran-di-Malaysia.pdf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan